Pekerja Cemerlang Negara Terbilang

TEMA “Pekerja Cemerlang Negara Terbilang” yang diilhamkan oleh YAB mantan Perdana Menteri yang kelima, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) adalah tepat kerana setiap pekerja merupakan penyumbang kejayaan negara. Pekerja yang cemerlang hendaklah sentiasa meningkatkan tahap kecekapan, berinovasi, rajin, produktif, berdisiplin dan berintegriti. Pekerja ialah aset terpenting bagi sesebuah organisasi.

      Antara langkah yang boleh diambil oleh sesebuah organisasi untuk memiliki modal insan yang produktif, adalah dengan memberi keutamaan dan penelitian pada peringkat pengambilan dan pemilihan kakitangan (Hinrichs, 1976);  pengurusan pekerja secara berkesan (Cummings & Schwab, 1973); dan penyediaan latihan dan reka bentuk kerja (Hackman & Oldham, 1976; Aldag & Brief, 1978).

Sikap dan Keperibadian Individu

Sikap dan keperibadian positif perlu dipupuk di kalangan pekerja dari awal peringkat pengambilan seseorang pekerja. Sikap berdisiplin dalam kerja perlu ditegaskan sebagai sikap penting yang perlu ada pada setiap individu untuk menjadi pekerja yang bertanggungjawab dan berkualiti. Konsep “KERJA” boleh dijadikan garis panduan bagi memastikan prestasi kerja meningkat agar perkhidmatan atau produk yang ditawarkan sentiasa berkualiti. Secara ringkasnya, konsep ini dapat diterjemahkan seperti berikut:

 Kerjaya         : Menghayati dan menghargai kerjaya yang digalas;

Empati            : Merasai dan menjiwai kerja yang dilakukan sebagai satu ibadah;

Rasional         : Sedar akan kerjaya yang dipilih, sesuai dengan minat, kelayakan dan kebolehan diri;

Jujur                : Jujur terhadap kerja bagi meningkatkan kualiti diri; dan

Amanah         : Bersikap positif, suka akan kerja yang dilakukan, bertolak ansur dan bertanggungjawab.

      Bagi mencapai kejayaan dalam kehidupan, setiap individu perlu memiliki nilai kualiti diri yang mencakupi aspek mental dan jasmani.  Penerapan  nilai-nilai murni, seperti berintegriti, bekerjasama dan  bertoleransi mampu menjadikan seseorang itu kakitangan yang cemerlang.

      Pihak pengurusan organisasi juga perlu bijak untuk menangani masalah kakitangannya. Majikan perlu mengetahui hak dan peranan organisasi bagi mengelakkan daripada berlakunya ketidakharmonian di tempat kerja.

Komunikasi Berkesan

Komunikasi berkesan antara pihak atasan dengan pekerja bawahan adalah sangat penting dalam memastikan kecemerlangan sesebuah organisasi. Komunikasi berkesan  melibatkan proses memberi arahan, taklimat, penjelasan, tunjuk ajar, teguran atau nasihat daripada pegawai atasan kepada pegawai bawahan.    

      Komunikasi berkesan juga, melibatkan tindak balas pekerja bawahan melaksanakan  arahan dan tunjuk ajar yang diterimanya dengan baik dalam jangka waktu yang ditetapkan. Justeru, kemahiran komunikasi di kalangan pekerja perlu digilap dengan menyediakan program latihan dan kursus yang sewajarnya bagi memastikan setiap arahan dapat difahami dan dilaksanakan seperti yang dirancang.

Latihan dan Pembangunan

Latihan dan pembangunan merangkumi tiga aktiviti utama, iaitu latihan, pendidikan, dan pembangunan, yang merupakan usaha ke arah mempertingkatkan prestasi kakitangan bagi mencapai objektif organisasi.  Ia membantu kakitangan untuk meningkatkan kemahiran bekerja, lebih bermotivasi, lebih produktif, dan memupuk semangat kerja berpasukan ke arah mencapai kecemerlangan organisasi.

 Persekitaran di Tempat Kerja

Keadaan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan menyeronokkan boleh mempengaruhi produktiviti dan prestasi pekerja.  Persekitaran yang kondusif juga boleh mengatasi masalah tekanan (stres) di tempat kerja. Di samping itu, peluang kenaikan pangkat melalui persaingan yang sihat, iaitu berdasarkan merit dan kekananan dapat mewujudkan rasa hormat-menghormati sesama pekerja.  Bahkan ia dapat mengelakkan  rasa tidak puas hati pekerja dan mengurangkan masalah disiplin,  yang berpunca daripada ketiadaan motivasi. Persekitaran positif ini secara tidak langsung memacu ke arah kecemerlangan organisasi.

Berdisiplin dan Bertanggungjawab

Disiplin dan tanggungjawab adalah dua faktor utama yang menentukan kejayaan seseorang individu dan sesebuah organisasi. Oleh itu, organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang ditunjangi oleh pekerja yang berdisiplin, bertanggungjawab, dan berintegriti sama ada di peringkat bawahan, mahupun di peringkat atasan.

      Kini, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah diperkenalkan sebagai salah satu kaedah bagi mengukur prestasi perkhidmatan agensi-agensi kerajaan kepada pelanggan, khususnya masyarakat. Kaedah ini boleh dinilai sebagai satu usaha murni kerajaan untuk menangani isu kakitangan bermasalah demi menjamin kelangsungan perkhidmatan yang berkualiti khususnya dalam perkhidmatan sektor awam.

      Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan perancang dan pengembang bahasa dan sastera kebangsaan sentiasa menekankan aspek kecemerlangan pekerja dan organisasi.  Setiap tahun DBP sentiasa memberi pengiktirafan kepada pekerja-pekerja cemerlangnya sebagai satu galakan kepada semua pekerja untuk mencapai prestasi tinggi sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

RUJUKAN:

 Abd. Rahim Abd. Rashid. 2006. Agenda perubahan pengurusan sumber manusia   

      dan kerjaya. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdul Shukor Abdullah. 2004. Pengurusan organisasi: perspektif pemikiran dan

      teori. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Atory Hussain. 2007. Tadbir urus korporat: ke arah tadbir urus yang

      berkualiti dalam sektor awam dan swasta. Kuala Lumpur: Utusan Publications &

      Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Sazamy Abd Aziz. 2009. Hebat di pejabat. Kuala Lumpur: PTS Professional

      Publishing Sdn. Bhd.

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. 2005. Budi bahasa budaya kita.

      KEKKWA: Kuala Lumpur.

 

Koh Foo Hin, et al. Perancangan sumber manusia. 1998,

      http://www.sarjana.tripod.com/sumber1.html [4 November 2009]

Pekeliling kemajuan pentadbiran awam Bil. 1/1992.

      http://www.mampu.gov.my/mampu/pdf/pkpa011992.pdf [3 November 2009]

Pekeliling perkhidmatan Bilangan 1 tahun 1999 (Panduan mewujudkan

      perkhidmatan kaunseling di agensi awam). Jabatan Perkhidmatan Awam,

      http://www.jpa.gov.my/pekeliling/pp99/pp1-99.htm [5 November 2009].

Perintah-perintah am dan arahan pentadbiran. 2005. Kuala Lumpur: International

      Law Book Services, Perpustakaan Negara Malaysia, http:// www.pnm.my

      [5 November 2005]

Sharifah Akmam Syed Zakaria dan Ahmad Shukri Yahaya. 2006. Tinjauan tentang

      reaksi emosi di tempat kerja: satu aspek pengurusan sumber manusia dalam

      organisasi. Jurnal Teknologi:  1-11.

Surat pekeliling perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1998 (Garis panduan

      menguruskan pegawai berprestasi rendah dan pegawai yang bermasalah).

      JPA,   

      http://www.eghrmis.gov.my/wpcontent2/pekeliling/SP98/SP98Bil04/sp9804.pdf

      [12 November 2009]

Oleh: Salim Md. Zin

Leave a Reply